Wednesday, May 13, 2009

McDonald's Sponsor in Nadia AF6 Birthday Bash Concert - Article in Berita Harian 12 May 2009

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my




Nadia akui perjalanannya dalam bidang seni bukan laluan mudah

ENTAH di mana silapnya, rezeki finalis Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Nadia Haswani Hasnan atau Nadia untuk menyinar bagaikan belum ada. Belum cukup diuji dengan perihal itu, dia hampir hilang arah gara-gara penutupan syarikat Maestro Talent Management Sdn Bhd 1 April lalu.

Tipulah kalau gadis genit ini berkata apa yang terjadi itu tidak memberi kesan kepadanya. Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi yang melanda dunia, ia pasti menjadi cabaran hebat buat sesiapapun untuk memastikan ‘dapur terus berasap’.

Namun, pada bulan itu yakni pada tanggal 14 April juga dia meningkat usia menjadi 19 tahun. Tidak mahu terus larut dengan pelbagai masalah yang datang tanpa diduga, anak kepada Hasnan Yusof dan Jamaayah Sulong ini tidak boleh terus menyerah kalah. Dia tetap tegar berjuang untuk memastikan impiannya menjadi realiti.

Malah, selepas perbincangan dengan Astro Entertainment Sdn Bhd, Nadia kini sudah bebas dan tidak mempunyai ikatan dengan syarikat itu lagi. Selesa bergerak sendiri, Nadia sedar langkahnya ke depan bukanlah semudah yang disangka.

“Rentetan penutupan Maestro, resah gundah juga hati ini pada mulanya. Bayangkan dulu semua jadual kerjaya diatur rapi, namun sekarang semuanya sudah berubah. Apa saja yang ingin dilakukan perlu atas tapak kaki sendiri. Bagaimanapun, Nadia yakin setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmah terselindung.

Ia banyak mengajar Nadia mengenai kehidupan, bahkan mematangkan Nadia daripada pelbagai sudut. Malahan, dengan sokongan keluarga, peminat dan syarikat Nadia Cribs Entertainment, Nadia ambil sebagai kekuatan melayari masa mendatang.

Nadia tahu ada yang nampak begitu kebal dinding di luar sana daripada membiarkan Nadia terus menyerlah. Semuanya bukan kehendak Nadia, ia umpama dugaan yang harus Nadia harungi untuk meyakinkan orang bahawa Nadia mampu membuat yang terbaik. Nadia tak boleh berputus asa dan kena bijak mencari peluang yang ada,” katanya yang terikat dengan persembahan konsert Jelajah Orkestra Simfoni Remaja bersama Istana Budaya mulai minggu lalu membabitkan beberapa lokasi seperti Perak, Pahang dan Johor.

Mengidam untuk memiliki album sendiri, Nadia memberitahu ada beberapa syarikat rakaman yang berminat untuk melamarnya. Bagaimanapun semuanya masih belum ada kata putus dan Nadia tidak terlalu mengharap.

“Kita tunggu sajalah perkembangannya nanti. Kalau ada rezeki Nadia dengan mana-mana syarikat rakaman, Nadia tak akan menolak. Kalau pun tak mampu muncul dengan album penuh, Nadia berhasrat nak menghasilkan single dan sedang mencari komposer untuk membikinnya.


Apa pun yang bakal dirancang sekarang, Nadia kena beringat. Setakat ini adalah wang simpanan sepanjang Nadia menyanyi yang boleh digunakan untuk mencari lagu single. Selain itu, keperluan keluarga pun harus Nadia utamakan memikul tanggung jawab sebagai anak sulung,” katanya yang pernah menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem Histeria.

Sementara itu, satu majlis sambutan hari lahir Nadia diadakan pada 3 Mei lalu di sebuah kelab di Taman Melawati. Ia dianjurkan Nadia Cribs Entertainment dan Nadia Fan Club. Majlis itu turut mendapat tajaan McDonalds dan Berita Publishing.

“Biarpun disambut lewat pada tarikh asalnya, Nadia tetap bersyukur dan berterima kasih kepada yang bersusah payah memastikan majlis itu berjalan lancar dan jayanya. Tak dilupakan kepada pihak menaja yang sudi menaja dan peminat serta rakan wartawan yang sudi hadir memeriahkan suasana.

“Sepatutnya majlis ini dirancang pada bulan lalu, namun atas beberapa masalah, ia ditangguh hingga ke bulan ini. Sambutan ini adalah yang kali pertama diraikan bersama kelab peminat Nadia,” katanya yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan terbabit dalam sebuah sitkom untuk siaran RTM berjudul Angguk Angguk Geleng Geleng.

Pada majlis itu, Nadia turut memberikan persembahan bertenaga diiringi bandnya menerusi tujuh buah lagu Total Eclipse of The Heart, Entersand Man, Pelesit Kota, So What, Heaven & Hell, Sweet Child of Mine dan Kalut Lagi Mengarut (Nadia).

Kumpulan indie Broken Riffs antara kenalan Nadia yang turut meluangkan masa memberikan persembahan pembukaan sebelum majlis berlangsung.

INFO: Nadia

# Dilahirkan pada 14 April 1990

# Pernah digosipkan bercinta dengan Riz AF6

# Teringin berduet dengan Hattan kerana melihat penyanyi itu sebagai ikon rock unggul.

# Meminati genre muzik rock dan lagu rancak.

# Kerap memenangi pertandingan karaoke yang disertainya seperti Karaoke Alam Sentral, Kelab Orange, La Lacos Pub dan All Star Corner.

# Pernah berduet dengan sebuah kumpulan dari Indonesia dipanggil Red Peanut menerusi lagu nukilan Eddie Hamid dan lirik oleh Fedtri Yahya berjudul Dia Aku Dan Kamu. Malah atas undangan RMZ Showbiz, Nadia turut membuat persembahan konsert mini di Indonesia Mac lalu.

Click the link for more information :-
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Hip/20090512063950/Article/

No comments: